Saturday 14 June 2014

SEJARAH HIDUP IMAM HASAN AL BANNA

Hari ini.. 12 Februari. Pada tahun 1949, tarikh yang sama, seorang pejuang Islam, antara tokoh agama yang disegani dan banyak berjasa pada abad ke-20; As-Syahid Al-Imam Hassan Al Banna Rahimahullah 'Alaihi telah dibunuh. Beliau telah syahid menemui Allah di atas nama jihad dan gerak kerja dakwah islamiyyah.

InsyaAllah, marilah kita sama-sama menghayati pejalanan hidup beliau, wasiat, pegangan serta kata-kata nasihat beliau.

"Jadilah kamu seperti pohon, dilontarkan batu kepadanya akan tetapi mereka membalasnya dengan buah." [Hassan Al-Banna]

Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna ( حسن أحمد عبد الرحمن محمد البنا) merupakan reformis sosial dan politik Mesir  yang terkenal sebagai pengasas gerakan Jamiat al-Ikhwanul Muslimin.
Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al Mahmudiya yang terletak di daerah al Bahriyyah, Iskandariah, Mesir. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang merendah diri dan hidup dalam keadaan yaug serba sederhana.Hassan al Banna merupakani anak sulung daripada lima beradik.
Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn Abd al Rahman al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang beberapa buah kitab hadis dan fikah perundangan Islam, yang berkelulusan dari Universiti Al Azhar Mesir. Beliau dikenali sebagai seorang yang bersopan santun, pemurah, merendah diri dan tingkah laku yang menarik. Namun beliau hanya bekerja sebagai pembaik jam di desa al Mahmudiya untuk menyara keluarganya. Masa yang selebihnya digunakann untuk mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al Quran dan hadis kepada penduduk tempatan.Sebagai seorang ulama, Sheikh Ahmed Abdu Rahman al Banna mempunyai perpustakaan yang agak besar di rumahnya. Beliau menghabiskan sebahagian masanya mempelajari Sunnah Rasulullah dan membincangkannya dengan rakan-rakan di kedai dan di rumah. Hassan al-Banna juga sering menghadiri dan mengambil bahagian dalarn perbincangan tersebut. Pertemuan ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran, wawasan dan yang penting perwatakannya. Ketokohan, keilmuan dan keperibadian Syeikh Ahmad al Banna diwarisi oleh Hassan al Banna.
Sifat kepimpinan Hassan al Banna terserlah sejak beliau masih di sekolah rendah.Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922. Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin. Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa Revolusi 1919 menentang pemerintahan British.
Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Kehidupan di ibu negara Mesir menawarkannya peluang yang lebih luas berbanding di kampung serta bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya). Walau bagaimanapun, beliau amat terganggu dan tidak senang dengan pengaruh kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular yang terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional. Hassan al Banna turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti Al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka terhadap peningkatan atheisme dan pengaruh mubaligh Kristian
Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah berunsurkan Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat seperti di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.
Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, beliau menulis bahawa beliau bercadang untuk menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak agar dapat mengajar mereka mengenai matlamat "agama adalah sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru Bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez.
Penubuhan "Ikhwanul Muslimun", kegiatan dakwah dan kematian seorang wira
Pada Mac 1928,Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Ketika itu beliau berusia 23 tahun.Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam kepada keluarga anak muridnya. Beliau juga berceramah di masjid,malah di kedai kopi, yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan dan beliau mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama. Beliau sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya seperti kem ketenteraan British, kemudahan awam yang dimiliki oleh kepentingan luar dan tempat tinggal mewah milik pekerja syarikat terusan Suez yang bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir.
Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.
Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik. Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu, Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan.
Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan al Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak kunjung tiba.Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena ternbakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut. Walaupun terkena tujuh tembakan, Hasan al-Banna masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital.Setibanya di hospital Qasral 'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan al Banna.Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.Jenayah beliau diuruskan oleh ayahnya sendiri.Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.
Tegasnya, Hasan al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul.Ramai tokoh yang lahir daripada usaha dakwah beliau,antaranya ialah Mujaddid fiqh Dr. Yusof Qaradhawi dan Syeikh Ketua Syuhada abad 20-Syeikh Ahmad Yasin.
Pegangan serta Wasiat Hassan Al Banna.

Enam pegangan beliau ialah;
1) Agama hanya akan dapat dirasakan oleh orang yang menegakkan agama di dalam dirinya.
2) Bahagia dan sa'adah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.
3) Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.
4) Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkn diri kepada Allah SWT.
5) Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan; kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan dan perjuangan.
6) Belajarlah men'fana'kan diri guna kepentingan cita dan agama. 

10 wasiat beliau kepada umat Islam ialah;

1) Apabila kamu mendengar azan, maka bangunlah dan menunaikan solat dengan serta merta walau dalam keadaan bagaimana sekalipun.
2) Bacalah Al-Quran, atau tatapilah buku-buku, atau pergilah mendengar perkara-perkara baik ataupun amalkanlah zikrullah, dan janganlah sama sekali kamu membuang masa walau sedikit pun dalam perkara yang tidak berfaedah.
3) Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul kerana Bahasa Arab yang betul ini adalah satu-satunya Syi'ar Islam.
4) Janganlah banyak bertengkar dalam apa-apa perkara sekali pun pertengkarann kosong itu tidak memberi sebarang apapun jua kebaikan.
5) Janganlah banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.
6) Janganlah bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.
7) Janganlah kamu bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring begitu adalah satu resmi yang sia-sia malah menyakiti hati orang.
8) Jauhilah daripada mengumpat-ngumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberikan kebaikan.
9) Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudara Ikhwan Muslimin yang kamu bertemu dengannya sekalipun dia tidak meminta kamu berkenalan; kerana asas gerakan Da'wah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.
10) Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita, oleh itu tolonglah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika kamu mempunyai tugas-tugas sendiri, maka, ringkaskanlah pelaksanaannya.
Subhanallah. MasyaAllah. Hebatnya peribadi & perjuangan tokoh Islam yang syahid kerana menegakkan agamaNya di bumi ini..

Beliau telah menyempurnakan amanahnya. Kini, insyaAllah, giliran kita pula menyambung perjuangan dakwah & islah ini, insyaAllah.

Allahu'alam..

No comments: